Skip to main content

Minggu Digital USM 2026 Meriah, Perkasa Transformasi Digital Inklusif


USM, 25 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited memperkasa agenda pendigitalan apabila berjaya menganjurkan Minggu Digital USM 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 21 hingga 25 Jun 2026. Program berskala besar ini dianjurkan secara serentak di Kampus Induk Pulau Pinang , Kampus Kesihatan dan Kampus Kejuruteraan, dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada warga universiti.

Mengangkat tema “Transformasi Digital Inklusif untuk Semua”, program ini bertujuan memperluas kefahaman serta penglibatan seluruh komuniti universiti terhadap teknologi digital tanpa mengira latar belakang atau tahap kemahiran.

Pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang minggu penganjuran, termasuk latihan dan forum berbentuk ICT yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi terkini serta amalan terbaik dalam bidang digital. Forum yang dianjurkan turut menghimpunkan pakar-pakar ICT bagi membincangkan cabaran dan peluang dalam mendepani era transformasi digital.

Selain itu, program ini turut menyaksikan penganjuran pertandingan-pertandingan ICT yang berjaya mencungkil bakat serta kreativiti dalam kalangan pelajar dan staf. Penyertaan yang tinggi membuktikan minat mendalam warga USM terhadap bidang teknologi maklumat serta inovasi digital.

Sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, satu pameran mini e-waste turut diadakan. Pameran ini memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai kepentingan pengurusan sisa elektronik secara lestari serta kesan negatif sekiranya ia tidak dikendalikan dengan betul.

Dalam masa yang sama, pihak penganjur turut menjalankan kajian kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan Pusat Transformasi Digital (PTD). Inisiatif ini bertujuan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengguna bagi menambah baik mutu perkhidmatan digital yang ditawarkan oleh universiti.

Majlis perasmian dan penutup program telah berlangsung dengan jayanya di Kampus Induk Pulau Pinang, menandakan komitmen berterusan USM dalam memacu transformasi digital yang menyeluruh dan inklusif.

Secara keseluruhannya, Minggu Digital USM 2026 bukan sahaja berjaya mencapai objektif penganjurannya, malah memperkukuh budaya digital dalam kalangan warga universiti. Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam melahirkan komuniti yang celik teknologi serta bersedia menghadapi cabaran dunia digital masa hadapan.

Teks berita oleh : Roslena Ab. Rashid | Gambar oleh : AJK Media Minggu Digital USM