Skip to main content

Aktiviti kelab PPKT

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & BERBUKA PUASA PPKT 2025

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & BERBUKA PUASA PPKT 2025


21 Mac 2025 (Jumaat) - Majlis Khatam Al-Quran & Berbuka Puasa PPKT 2025 yang telah berlasung pada jam 6.00 petang bertempat di Dataran Kelabu, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) yang disertai oleh staf PPKT dan ahli keluarga seramai 60 orang. Majlis ini dipimpin oleh Encik Mohd Zulkifly Bin Ibrahim (Penolong Pegawai Teknologi Maklumat PPKT) dan kemudiannya diteruskan dengan Majlis Berbuka Puasa PPKT.

Majlis anjuran Kelab PPKT Kampus Kesihatan ini diadakan sebagai penutup sesi tadarus yang bermula sejak 2 Mac 2025 dan berakhir pada 21 Mac 2025. Ia juga bertujuan meraikan dan menghargai kepada staf PPKT yang telah berjaya mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadhan Al-Mubarak ini dalam tempoh yang telah ditetapkan. Penghargaan ini adalah sebagai suatu sokongan dan motivasi untuk mendidik dan membudayakan staf PPKT serta dapat menjadi inspirasi kepada warga kampus khasnya agar membaca Al-Quran menjadi amalan harian dalam kehidupan.

Kelebihan khatam al-Qur'an ini telah ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadisnya yang bermaksud:

"Sebaik-baik amalan adalah selesai dan meneruskan. Rasulullah s.a.w. ditanya, Apakah keduanya itu? Baginda menjawab; Mula membaca al-Qur'an dan meneruskannya (mengkhatamkannya)".

Majlis Berbuka Puasa ini disediakan oleh Ahli Jawatankuasa majlis tersebut dengan jamuan ringan buah kurma dan air. Sejurus itu, semua staf yang hadir beramai-ramai ke Surau Perpustakaan Hamdan Tahir untuk menunaikan kewajipan sebagai umat islam untuk solat Maghrib berjemaah. Setelah selesai solat Maghrib berjemaah semua staf kembali ke Dataran Kelabu, PPSP untuk meneruskan berbuka puasa dengan menu utama adalah Nasi Tomato dan pot luck kuih muih dari semua staf. Majlis berakhir pada jam 8.15 malam.

Semoga majlis ini dapat menyemai budaya membaca dan mentadabbur Al-Quran secara berjemaah dalam kalangan warga staf PPKT. Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran dan semoga majlis seperti ini terus menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Teks berita oleh : Puan Rozeanwati Yusoff | Gambar oleh : Encik Nik Azrul & AJK Program Majlis Qatan Al-Quran & Berbuka Puasa PPKT 2025

BAKUL KASIH RAMADHAN PPKT 2025

BAKUL KASIH RAMADHAN PPKT 2025


25 Februari 2025 bersamaan 26 Shaban 1446 – Bersempena kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak 1446H, Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kesihatan telah mengadakan program amal kemasyarakatan ‘Bakul Kasih Ramadhan PPKT 2025’ bagi membantu golongan asnaf dan miskin Kelantan sebagai penjana untuk memantapkan lagi program pengukuhan sahsiah sepertimana Rasullullah SAW bersabda :

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu” (Riwayat Bukhari).

Antara objektif program ini diadakan adalah bertujuan dapat melahirkan warga kampus yang peka dan bertanggungjawab terhadap bulan-bulan kebesaran Allah SWT dan peristiwanya. Program ini juga menjadi salah satu platform kepada warga staf yang berminat untuk memberi sumbangan kewangan bersempena menyambut kedatangan bulan yang mulia. Dengan adanya program amal sebegini, sedikit sebanyak dapat ,mengurangkan beban golongan asnaf dan miskin yang ada di sekitar kawasan sepertimana yang disasarkan iaitu di Daerah Kota Bharu, Kubang Kerian, Tumpat Dan Bachok. Selain itu juga ianya dapat menzahirkan sikap kerjasama, toleransi, hormat-menghormati dan bertimbang rasa antara Ahli Jawatankuasa program yang terdiri daripada staf PPKT Kampus Kesihatan.

Program ‘Bakul Kasih Ramadhan PPKT 2025’ merupakan anjuran Kelab PPKT Kampus Kesihatan yang terdiri daripada beberapa Ahli Jawatankuasa telah giat menjalankan kerja-kerja amal dengan menyediakan tabung kutipan sumbangan dan diedarkan di seluruh Kampus Kesihatan, Hospital USM dan Kampus Induk. Selama 17 hari tabung kutipan tersebut dijalankan iaitu bermula dari 25 Februari 2025 hingga 13 Mac 2025 dengan jumlah hasil kutipan yang diperolehi adalah sebanyak RM 3530.85. Program yang dijalankan ini telah mendapat sokongan dan sambutan yang baik dikalangan warga staf amnya dan juga pengunjung Hospital USM. Hasil dari kutipan sumbangan tersebut pihak AJK telah membeli barangan keperluan asas merupakan barang dapur sebagai sumbangan Bakul Kasih Ramadhan PPKT 2025. Aktiviti penyediaan Bakul Kasih Ramadhan ini diadakan pada 16 Mac 2025 oleh semua AJK yang terlibat dan sepanjang tempoh 3 hari bermula pada 17 Mac 2025 hingga 20 Mac 2025 penyerahan sumbangan bakul tersebut diedarkan kepada 70 golongan asnaf dan miskin yang telah dikenal pasti.

Semoga dengan adanya kerja-kerja amal ini dapat meringankan beban ekonomi golongan asnaf dan miskin dalam menghadapi bulan Ramadhan ini. Semoga program ini dan kita semua juga mendapat keredhaan, keberkatan dan ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.

Teks berita oleh : Puan Rozeanwati Yusoff | Gambar oleh : Encik Nik Azrul

Perlawanan Bowling Ukhwah Kelab PPKT 2025

Perlawanan Bowling Ukhwah PPKT


Perlawanan ukhwah antara ahli kelab yang telah berlangsung di Lite SuperBowl JB 7 Mydin Tunjong pada Isnin yang lalu dihadiri oleh 40 orang ahli kelab pada jam 8 malam. Perlawanan dihadiri oleh Encik Nareeman Shah selaku Presiden Kelab PPKT, turut hadir ke majlis tersebut ialah barisan Majlis Tertinggi kelab, ahli kelab dan keluarga memeriahkan perlawanan ukhwah bowling ini.

Perlawanan bowling ini dianjurkan oleh kelab sebagai pembuka acara aktiviti bagi tahun 2025. Acara disempurnakan oleh Presiden kelab, Encik Nareeman Shah dengan melakukan gimik iaitu lontaran pertama dalam perlawanan ini secara langsung telah merasmikannya. Objektif acara ini adalah bagi menerapkan semangat kerjasama yang berterusan dan menjalinkan hubungan erat antara staf PPKT USM Kampus Kesihatan.

Berikut adalah keputusan perlawanan ukhwah bowling ini; Juara, tempat kedua, dan tempat ketiga jatuh kepada Puan Noraini Binti Md Zain, Encik Mohd Fakrulnizam Bin Md Sahak, dan Encik Mohd Asri Bin Samat. Tahniah kepada semua pemain. Majlis bersurai jam 11 malam selepas selesai acara pembahagian hadiah.

Solat Hajat Perdana PPKT 2025

Solat hajat perdana


Pada 9 Januari 2025 telah berlangsung Majlis Solat Hajat Perdana dan Bacaan Yassin staf Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Kampus Kesihatan. Majlis Solat Hajat Perdana dan Bacaan Yassin ini dianjurkan oleh Kelab PPKT Kampus Kesihatan untuk memohon kesejahteraan staf PPKT dan mendoakan anak-anak staf yang sedang menduduki peperiksaan SPM yang bertempat di Surau Perpustakaan Hamdan Tahir (PHT). Majlis dihadiri oleh Tuan Haji Nik Nashron selaku Timbalan Pengarah PPKT, turut hadir ke majlis tersebut ialah barisan Majlis Tertinggi kelab, ahli kelab dan keluarga mengimarahkan majlis.

Majlis bermula dengan solat Maghrib yang diimamkan oleh Tuan Haji Nik Nashron, bacaan Yassin dan Tahlil di pimpin oleh Encik Zulkifly. Kemudian, solat Isyak di imamkan oleh Encik Amir dan solat Hajat di ketuai oleh Encik Zulkifly.

Setelah selesai majlis solat hajat, jamuan ringan diadakan di Dataran Kelabu, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP). Pelbagai juadah seperti bihun goreng, kuey teow goreng, nasi goreng, mee goreng, roti dan gulai, pulut kuning dan rendang, kuih muih, puding, dan buah-buahan dihidangkan.

Jamuan selesai jam 10 malam, ucapan terima kasih kepada yang menyumbangkan makanan, ahli kelab dan keluarga yang hadir mengimarahkan Solat Hajat Perdana, serta jawatankuasa yang bertungkus-lumus menguruskan majlis ini, semoga ukhuwah ini berkekalan selama-lamanya. "Bersatu kita kuat, bersama kita hebat".

Teks berita dan gambar : JK Media & Publisiti Kelab PPKT USMKK

Mesyuarat Agung Kelab (AGM) PPKT USM Kampus Kesihatan

 2E8A8651  

12 Disember 2024 - Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kelab Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) telah berlangsung dengan jayanya pada 12/12/2024 (Khamis) bertempat di Bilik Toturial A, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah dihadiri oleh ahli-ahli kelab PPKT.

Majlis dipengerusikan oleh Encik Norkhuzairi Bin Md Nor dan dimulakan dengar ucapan alu-aluan oleh Tn. Nik Nashron bin Ab Aziz, penasihat kelab dan merasmikan AGM tersebut. Seterusnya pembentangan laporan aktiviti dan kewangan kelab PPKT 2023/2024 oleh Encik Mohd Azirul Azim Bin Mohamed Yusoff, selaku bekas Presiden kelab yang terdahulu.

2E8A8652 2E8A8672

Kelab PPKT ini telah ditubuhkan adalah bertujuan sebagai platform utama para ahli kelab PPKT untuk mengeratkan silaturrahim antara ahli disamping menyatupadukan hubungan antara pekerja PPKT untuk program kebajikan dan rekreasi Jabatan PPKT.

Ucapan terima kasih dan tahniah kepada para AJK kelab PPKT tahun 2023/2024 yang telah bertungku-lumus memimpin kelab pada tahun sebelumnya. Pencalonan dan undian secara atas talian telah di adakan pada minggu sebelum ini, kebanyakkan ahli telahpun memilih calon masing-masing bagi menerajui AJK Kelab PPKT yang baru. Keputusan undian di umumkan Encik Mohd Saharrudin Bin Che Lah, selaku bekas Setiusaha kelab yang lalu.

2E8A8717 2E8A8721

Berikut adalah senarai penuh Majlis Tertinggi yang telah dipilih menerajui kelab PPKT sesi 2025/2026:

1. Presiden Kelab: Encik Nareeman Shah Bin Che Muhamad
2. Setiausaha: Puan Roslena Binti Abd Rashid
3. Penolong setiausaha: Puan Siti Salbiah Binti Mohd Salleh @ Harun
4. Bendahari: Puan Noraini Binti Md Zain
5. Penolong bendahari: Encik Mohd Fakrulnizam Bin Md Sahak

Tahniah dan selamat bertugas kepada MT yang baru dipilih, semoga kelab PPKT terus maju dan utuh.

2E8A8733  

Teks & gambar disediakan oleh : Kaifaris