Program Bakul Kasih Ramadan 2026 : Ringankan Beban Asnaf Sekitar Kampus Kesihatan
Kampus Kesihatan, 12 Mac 2026 – Kelab PTD Kampus Kesihatan terus memperkukuh usaha kebajikan melalui penganjuran Program Bakul Kasih Ramadan 2026/1447H, bertujuan membantu golongan asnaf dan miskin dalam membuat persiapan menghadapi bulan Ramadan.
Tahun ini, program berjaya menyediakan sebanyak 75 bakul sumbangan, berbanding sasaran awal 50 bakul, hasil kutipan dana yang melebihi jangkaan.
Kutipan derma yang dijalankan dari 23 Februari hingga 9 Mac 2026 mencatat jumlah keseluruhan RM5,209.50, hasil sumbangan warga kampus yang prihatin. Tabung sumbangan ditempatkan di beberapa lokasi strategik dan diserahkan secara konsisten kepada bendahari bagi memastikan ketelusan pengurusan dana.
Pengarah program, En. Kamarulakmal Ab. Ghani, menyatakan rasa syukur atas sambutan luar biasa tersebut, yang membolehkan lebih ramai penerima dibantu pada tahun ini.
Pembelian barangan keperluan dapur telah dijalankan pada 10 dan 11 Mac 2026, melibatkan penyediaan 75 bakul yang mengandungi keperluan asas harian bagi membantu penerima menjalani ibadah puasa dengan lebih selesa.
Senarai calon asnaf dan miskin diperoleh melalui maklumat daripada staf PTD Kampus Kesihatan, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang tinggal berhampiran kawasan kampus. Jawatankuasa penilaian memastikan hanya mereka yang memenuhi kriteria menerima bantuan.
Majlis penyerahan rasmi diadakan pada hari yang sama, 12 Mac 2026, melibatkan dua kaedah penyampaian:
Sebahagian penerima hadir sendiri ke Bilik Mesyuarat PTD bagi sesi penyerahan rasmi yang berjalan dalam suasana ringkas namun penuh rasa syukur. Ahli jawatankuasa program turut hadir bagi menyampaikan bakul sumbangan dan beramah mesra dengan penerima.
Bagi penerima yang tidak berkesempatan hadir atau menetap di sekitar kawasan kampus, jawatankuasa program turun padang menghantar bakul bantuan terus ke rumah mereka, memastikan setiap penerima menerima sumbangan dengan selamat dan teratur.
Penasihat program, En. Nareeman Shah Che Muhamad, merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Beliau berharap usaha sebegini dapat diteruskan dan diperluas pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada komitmen sosial warga kampus.
Program Bakul Kasih Ramadan 2026 sekali lagi menjadi bukti bahawa budaya memberi dan prihatin terus subur dalam kalangan warga Kampus Kesihatan dalam menyambut kedatangan bulan mulia ini.
Teks berita oleh : Roslena Abd Rashid | Gambar oleh : AJK Program Bakul Kasih Ramadhan 2026