Skip to main content

KEMPEN KESEDARAN KITAR SEMULA SISA ELEKTRONIK (E-WASTE) PERINGKAT USM KAMPUS KESIHATAN SEMPENA HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2025


Alhamdulillah, pagi tadi saya telah merasmikan Kempen Kesedaran Kitar Semula Sisa Elektronik (e-Waste) anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian dengan kerjasama strategik Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kelantan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025 di Dataran Kelabu, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP). Program berbentuk kempen kesedaran seperti ini amat penting dalam memastikan sisa elektrik dan lektronik atau dikenali sebagai "e-waste" dapat diurus dengan sempurna terutamanya di negeri Kelantan. Mengikut data rakyat Malaysia akan menghasilkan kira-kira 365,000 tan sisa e-waste setiap tahun.

Jumlah ini amat membimbangkan dan dijangka meningkat mendadak menjelang 2026. Peningkatan ini disebabkan oleh pertumbuhan pesat ekonomi digital dan penggunaan peranti elektronik yang meluas. Namun, hanya sebahagian kecil sahaja e-waste yang berjaya dikitar semula sementara selebihnya akan berakhir dibuang di tapak pelupusan. Sisa 'e-waste' yang gagal diurus ini boleh membawa risiko kepada kesihatan awam dan pencemaran kepada alam sekitar serta menjadi punca kebakaran di tapak pelupusan.

Diharapkan warga kampus dapat menjadi Duta kepada Kerajaan Negeri dalam menyebar luas kesedaran dikalangan rakyat Kelantan di pelbagai lapisan masyarakat tentang peri pentingnya pengurusan pembuangan e-waste ini. Saya dimaklumkan bahawa pelbagai aktiviti telah dianjurkan sepanjang seminggu kempen ini berlangsung seperti pengumpulan barangan ‘e-waste’, program Digital Kasih, ceramah teknologi hijau, pameran interaktif, kuiz kelestarian serta sesi perkongsian ilmu bersama agensi luar yang telah mendapat penyertaan aktif dan sokongan daripada pelbagai lapisan warga kampus termasuk pelajar, staf akademik serta komuniti setempat. Penyertaan proaktif ini membuktikan bahawa komitmen bersama amat perlu bagi menjayakan agenda kelestarian alam yang lebih holistik dan menyeluruh.

Turut hadir dalam majlis perasmian tadi adalah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengarah JAS Negeri Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin; Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd., Dr. Mohd Roshdi Hassan; Timbalan Pengarah PPKT Kampus Kesihatan USM, Haji Nik Nashron Ab Aziz dan Penyelaras Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan USM, Rabiatul Adawiyah Ab Manan.

Tahniah kepada urusetia program daripada Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian dan semua yang terlibat dalam menjayakan kempen 'e-waste' ini. Terima kasih di atas keprihatinan anda semua dalam usaha kita bagi memastikan bumi ini dapat terus diwariskan kepada generasi akan datang yang kekal bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran serta sesuai bagi mereka untuk meneruskan kehidupan.

Teks berita dan gambar : FACEBOOK YB Hilmi Abdullah