BAKUL KASIH RAMADHAN PPKT 2025
25 Februari 2025 bersamaan 26 Shaban 1446 – Bersempena kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak 1446H, Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kesihatan telah mengadakan program amal kemasyarakatan ‘Bakul Kasih Ramadhan PPKT 2025’ bagi membantu golongan asnaf dan miskin Kelantan sebagai penjana untuk memantapkan lagi program pengukuhan sahsiah sepertimana Rasullullah SAW bersabda :
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu” (Riwayat Bukhari).


Antara objektif program ini diadakan adalah bertujuan dapat melahirkan warga kampus yang peka dan bertanggungjawab terhadap bulan-bulan kebesaran Allah SWT dan peristiwanya. Program ini juga menjadi salah satu platform kepada warga staf yang berminat untuk memberi sumbangan kewangan bersempena menyambut kedatangan bulan yang mulia. Dengan adanya program amal sebegini, sedikit sebanyak dapat ,mengurangkan beban golongan asnaf dan miskin yang ada di sekitar kawasan sepertimana yang disasarkan iaitu di Daerah Kota Bharu, Kubang Kerian, Tumpat Dan Bachok. Selain itu juga ianya dapat menzahirkan sikap kerjasama, toleransi, hormat-menghormati dan bertimbang rasa antara Ahli Jawatankuasa program yang terdiri daripada staf PPKT Kampus Kesihatan.


Program ‘Bakul Kasih Ramadhan PPKT 2025’ merupakan anjuran Kelab PPKT Kampus Kesihatan yang terdiri daripada beberapa Ahli Jawatankuasa telah giat menjalankan kerja-kerja amal dengan menyediakan tabung kutipan sumbangan dan diedarkan di seluruh Kampus Kesihatan, Hospital USM dan Kampus Induk. Selama 17 hari tabung kutipan tersebut dijalankan iaitu bermula dari 25 Februari 2025 hingga 13 Mac 2025 dengan jumlah hasil kutipan yang diperolehi adalah sebanyak RM 3530.85. Program yang dijalankan ini telah mendapat sokongan dan sambutan yang baik dikalangan warga staf amnya dan juga pengunjung Hospital USM. Hasil dari kutipan sumbangan tersebut pihak AJK telah membeli barangan keperluan asas merupakan barang dapur sebagai sumbangan Bakul Kasih Ramadhan PPKT 2025. Aktiviti penyediaan Bakul Kasih Ramadhan ini diadakan pada 16 Mac 2025 oleh semua AJK yang terlibat dan sepanjang tempoh 3 hari bermula pada 17 Mac 2025 hingga 20 Mac 2025 penyerahan sumbangan bakul tersebut diedarkan kepada 70 golongan asnaf dan miskin yang telah dikenal pasti.




Semoga dengan adanya kerja-kerja amal ini dapat meringankan beban ekonomi golongan asnaf dan miskin dalam menghadapi bulan Ramadhan ini. Semoga program ini dan kita semua juga mendapat keredhaan, keberkatan dan ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.