Skip to main content

Aktiviti PPKT

Lawatan Timbalan Naib Canselor USM ke Pusat Transformasi Digital Kampus Kesihatan

Lawatan Timbalan Naib Canselor USM ke Pusat Transformasi Digital Kampus Kesihatan

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menerima lawatan rasmi Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Azlan bin Amran ke Pusat Transformasi Digital Kampus Kesihatan baru-baru ini.

Berita PTD 2026 JAN 002 Berita PTD 2026 JAN 001

Lawatan ini diadakan susulan aduan yang telah disuarakan oleh staf Kampus Kesihatan semasa Sesi Townhall Pusat Transformasi Digital yang berlangsung pada 5 Disember lalu. Aduan tersebut memberi tumpuan kepada isu ruang bekerja staf yang didapati tidak kondusif, sempit serta kurang sesuai bagi menyokong keperluan kerja harian dan perkembangan fungsi digital yang semakin berkembang.

Sepanjang lawatan, Profesor Dr. Azlan bin Amran telah dibawa meninjau sendiri keadaan ruang kerja sedia ada serta mendengar penjelasan lanjut daripada pihak pengurusan dan staf terlibat mengenai cabaran yang dihadapi. Sesi ini turut menjadi platform perbincangan terbuka bagi mengenal pasti keperluan sebenar, kekangan fizikal serta cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan secara berperingkat.

Berita PTD 2026 JAN 003

Beliau menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan dan persekitaran kerja staf, khususnya dalam memastikan ruang kerja yang lebih kondusif, selamat dan menyokong produktiviti sejajar dengan aspirasi transformasi digital universiti. Menurut beliau, persekitaran kerja yang baik merupakan elemen penting dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan serta inovasi digital di Kampus Kesihatan.

Diharapkan kunjungan ini dapat menjadi pemangkin kepada tindakan susulan yang lebih menyeluruh, termasuk perancangan penstrukturan semula ruang kerja atau penyediaan kemudahan yang lebih sesuai. Pihak kampus berharap agar hasil lawatan ini dapat membawa kepada penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang demi kesejahteraan staf serta kelangsungan agenda transformasi digital Universiti Sains Malaysia.

  • Hits: 40

LAWATAN INDUKSI PELAJAR BAHARU KE PTD

PPSP TOUR 2025 SEMPENA MINGGU INDUKSI PELAJAR BAHARU PROGRAM DOKTOR PERUBATAN USM SIDANG AKADEMIK 2025/2026


06 Oktober 2025, Isnin – Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kesihatan telah menerima lawatan daripada pelajar baharu Program Doktor Perubatan USM Sidang Akademik 2025/2026 seramai 143 orang.

Lawatan ini dibahagikan kepada 6 kumpulan dan telah  dibawa ke Bilik Mesyuarat PTD untuk mendengar ucapan aluan Timbalan Pengarah PTD mengenai fungsi jabatan, seksyen-seksyen yang terdapat di PTD serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh PTD. Lawatan ini diakhiri dengan tayangan multimedia video korporat PTD Kampus Kesihatan.

Sesi tamat pada jam 04.30 petang dengan ucapan selamat maju jaya kepada semua pelajar.

Teks berita
Redaksi PTD USM Kampus Kesihatan

Gambar
Seksyen Media Kreatif PTD USM Kampus Kesihatan

  • Hits: 446

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT PTD 2025

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT PTD 2025

22 September 2025, Isnin – Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kesihatan telah mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat PTD pada jam 12.00 tengahari di ruangan staf Seksyen Sistem Maklumat. Majlis ini dihadiri oleh Timbalan Pengarah PTD bersama hampir semua staf PTD dan juga pelajar latihan industri.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan serta salam kepada staf kepada yang hadir dan seterusnya bacaan selawat beramai-ramai dipimpin oleh En. Mohd Zulkifly Ibrahim.

Majlis tamat pada jam 12.30 tengah hari dan jamuan makan tengah hari telah disediakan untuk semua yang hadir.

Teks berita Hidayah
Gambar Kaifaris

  • Hits: 431

PRA BENGKEL PTD TAHUN 2025


PRA BENGKEL PTD TAHUN 2025

Kampus Kesihatan, [13 Ogos 2025] – Pusat Transformasi Digital Kampus Kesihatan telah menganjurkan satu sesi pra bengkel sebagai persediaan awal bagi penjenamaan semula organisasi. Sesi ini bertujuan untuk membincangkan hala tuju dan pelarasan strategi organisasi agar selaras dengan struktur serta visi organisasi induk.

Semasa perbincangan tersebut, beberapa topik utama telah diberikan tumpuan, termasuklah; Carta Fungsi Baharu – bagi memperincikan peranan dan tanggungjawab setiap unit di bawah penjenamaan semula. Strategi Organisasi – perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk memastikan transformasi digital berjalan lancar dan berimpak tinggi. Program yang Bakal Dilaksanakan – inisiatif baharu yang menyokong matlamat transformasi digital di kampus.

Pra bengkel ini menjadi medan untuk memastikan semua pihak yang berkepentingan dapat memberikan pandangan, menyelaras idea dan mencapai kesepakatan sebelum pelaksanaan rasmi bengkel penuh pada tarikh yang akan datang.

Perbincangan juga merangkumi Pelan Strategik Pendigitalan bagi perancangan jangka sederhana atau panjang yang menyenaraikan hala tuju, objektif, dan tindakan organisasi untuk memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan, keberkesanan, dan daya saing.

Pusat Transformasi Digital yakin bahawa melalui proses ini, penjenamaan semula yang bakal dilaksanakan bukan sahaja akan memperkukuh identiti organisasi, malah memastikan segala inisiatif yang dijalankan bertepatan dengan aspirasi organisasi induk serta keperluan warga kampus.

Teks berita
Redaksi PTD USM Kampus Kesihatan

Gambar
Pejabat Timbalan Pengarah PTDKK

  • Hits: 500

KEMPEN KESEDARAN KITAR SEMULA SISA ELEKTRONIK (E-WASTE)

KEMPEN KESEDARAN KITAR SEMULA SISA ELEKTRONIK (E-WASTE) PERINGKAT USM KAMPUS KESIHATAN SEMPENA HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2025


Alhamdulillah, pagi tadi saya telah merasmikan Kempen Kesedaran Kitar Semula Sisa Elektronik (e-Waste) anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian dengan kerjasama strategik Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kelantan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025 di Dataran Kelabu, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP). Program berbentuk kempen kesedaran seperti ini amat penting dalam memastikan sisa elektrik dan lektronik atau dikenali sebagai "e-waste" dapat diurus dengan sempurna terutamanya di negeri Kelantan. Mengikut data rakyat Malaysia akan menghasilkan kira-kira 365,000 tan sisa e-waste setiap tahun.

Jumlah ini amat membimbangkan dan dijangka meningkat mendadak menjelang 2026. Peningkatan ini disebabkan oleh pertumbuhan pesat ekonomi digital dan penggunaan peranti elektronik yang meluas. Namun, hanya sebahagian kecil sahaja e-waste yang berjaya dikitar semula sementara selebihnya akan berakhir dibuang di tapak pelupusan. Sisa 'e-waste' yang gagal diurus ini boleh membawa risiko kepada kesihatan awam dan pencemaran kepada alam sekitar serta menjadi punca kebakaran di tapak pelupusan.

Diharapkan warga kampus dapat menjadi Duta kepada Kerajaan Negeri dalam menyebar luas kesedaran dikalangan rakyat Kelantan di pelbagai lapisan masyarakat tentang peri pentingnya pengurusan pembuangan e-waste ini. Saya dimaklumkan bahawa pelbagai aktiviti telah dianjurkan sepanjang seminggu kempen ini berlangsung seperti pengumpulan barangan ‘e-waste’, program Digital Kasih, ceramah teknologi hijau, pameran interaktif, kuiz kelestarian serta sesi perkongsian ilmu bersama agensi luar yang telah mendapat penyertaan aktif dan sokongan daripada pelbagai lapisan warga kampus termasuk pelajar, staf akademik serta komuniti setempat. Penyertaan proaktif ini membuktikan bahawa komitmen bersama amat perlu bagi menjayakan agenda kelestarian alam yang lebih holistik dan menyeluruh.

Turut hadir dalam majlis perasmian tadi adalah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengarah JAS Negeri Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin; Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd., Dr. Mohd Roshdi Hassan; Timbalan Pengarah PPKT Kampus Kesihatan USM, Haji Nik Nashron Ab Aziz dan Penyelaras Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan USM, Rabiatul Adawiyah Ab Manan.

Tahniah kepada urusetia program daripada Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian dan semua yang terlibat dalam menjayakan kempen 'e-waste' ini. Terima kasih di atas keprihatinan anda semua dalam usaha kita bagi memastikan bumi ini dapat terus diwariskan kepada generasi akan datang yang kekal bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran serta sesuai bagi mereka untuk meneruskan kehidupan.

Teks berita dan gambar : FACEBOOK YB Hilmi Abdullah

  • Hits: 311