18 & 19 Mei 2026 – Pusat Transformasi Digital (PTD) telah melaksanakan Bengkel Perancangan Fasa 2 Projek INSPIRE@HPUSM bersama ahli pasukan projek daripada Kampus Kesihatan, Pusat Sejahtera (Pusat Perubatan & Pergigian), Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) serta Pusat Transformasi Digital Kampus Induk yang terlibat. Selepas selesai sesi pendaftaran peserta bengkel pada jam 8.30 pagi, ucapan aluan telah diberikan oleh Timbalan Pengarah PTD, Tuan Haji Nik Nashron Bin Ab Aziz dan seterusnya bengkel diteruskan dengan pengisian dan perbincangan oleh setiap ahli yang terlibat bagi menyelaras persediaan dan perancangan fasa 2 projek bersama.
Bengkel Perancangan Fasa 2 Projek INSPIRE@HPUSM ini bertujuan bagi memastikan perancangan Fasa 2 dapat dilaksanakan secara menyeluruh, teratur dan berstruktur bagi setiap modul yang terlibat sebelum sebarang pelaksanaan dibuat. Pendekatan perancangan awal ini adalah kritikal bagi mengurangkan risiko ketidakselarasan keperluan dan mengelakkan perubahan skop di peringkat pelaksanaan.
Bengkel ini juga turut merangkum perbincangan isu integrasi sistem yang berkaitan sebagai persediaan ke arah pelaksanaan Go-Live Fasa 1 bagi memastikan kesiapsiagaan dari segi teknikal dan operasi tercapai. Bengkel yang berlangsung selama dua hari ini diharapkan dapat memperkukuh penyelarasan perancangan, keperluan sistem serta hala tuju pelaksanaan projek dalam kalangan peserta, seterusnya memastikan pembangunan dan pelaksanaan sistem dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, efektif dan selaras dengan keperluan operasi hospital.
Teks berita oleh : Amira Khairunnisa | Gambar oleh : Siti Salbiah