Skip to main content

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PPKT 2025


28 April 2025, Isnin - Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kesihatan telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPKT 2025 yang berlangsung di Ruang Legar Utama PPKT Kampus Kesihatan yang dianjurkan oleh Kelab PPKT.

Persiapan majlis ini bermula pada jam 8.10 pagi oleh Ahli Jawatankuasa yang terlibat untuk penyediaan hidangan juadah raya manakala booth raya telah disiapkan sehari sebelumnya yang dipimpin oleh Ketua Seksyen Korporat juga merupakan Pengerusi Kelab PPKT iaitu Encik Nareeman Shah bin Che Muhamad. Majlis raya pada tahun ini dikelolakan oleh Pengarah Projek Puan Roslena binti Abd Rashid.

Majlis ini bermula pada jam 11.00 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Tn. Hj. Nik Nashron, Timbalan Pengarah PPKT yang dihadiri oleh tetamu khas iaitu Ketua Pegawai Digital (CDO), YBrs. Profesor Ir. Dr. Nor Ashidi bin Mat Isa, Dekan dan Ketua-Ketua Jabatan, staf-staf PPKT dan juga tetamu dari unit-unit yang berdekatan. Bacaan doa selamat dimulakan bersempena staf PPKT yang akan mengerjakan ibadah haji pada bulan Mei 2025 ini iaitu Encik Kamarul Azuar Bin Ibrahim.

Tentatif majlis diteruskan dengan sesi penghargaan staf yang telah berpindah tempat bertugas dari Unit Telefonis, Seksyen Korporat ke penempatan baru di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) iaitu Puan Wan Madihah binti Wan Daud dan Puan Sarah Azreen binti Yusoff. Seterusnya staf-staf yang dirai dijemput untuk memberikan ucapan perpisahan dan diikuti dengan majlis penyampaian hadiah penghargaan daripada jabatan oleh Tn. Hj. Nik Nashron.

Diselitkan dengan sesi pengenalan 3 orang staf baru yang ditempatkan di Unit Telefonis iaitu Puan Auni Amirah binti Romaizi, Cik Norsyahidah binti Azhar dan Cik Amira Khairunnisa binti Rohimi dan masing-masing dijemput untuk memperkenalkan diri. Majlis dimeriahkan lagi dengan kejutan sambutan hari lahir staf yang lahir pada  bulan April, Jun dan Julai. Kek sempena sambutan hari lahir ini di tempah khas dengan saiz yang besar dan diletakkan nama-nama staf pada kek tersebut. 

Sambutan Hari Raya Aidilfitri sememangnya lebih meriah dengan tradisi menu yang pelbagai. Pilihan menu utama Kelab PPKT adalah Nasi Minyak dan tidak ketinggalan juga dengan menu-menu yang ‘tersohor’ di Negeri Kelantan seperti Soto, Laksa Kelantan, Rendang, Roti Jala, kuih-muih, kek serta beberapa jenis air balang. Kedengaran dendangan lagu raya telah memeriahkan suasana raya dengan  kehadiran para tetamu dan semua staf.

Majlis hari raya ini berakhir jam 2.30 petang. Kemudiannya  semua Ahli Jawatankuasa bertungkus lumus bergotong-royong menyimpan dan mengemas ruangan jamuan agar bersih dan tersusun seperti asal.

Teks berita oleh : Rozeanwati Yusoff | Gambar oleh : Kaifaris & Media Kelab PPKT