Perjumpaan antara PPKT dengan Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Penghuni Desasiswa Kampus Kesihatan


Pada 20 Januari 2025, Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) telah mengadakan sesi perjumpaan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) Kampus Kesihatan. Perjumpaan yang di pengerusikan oleh Timbalan Pengarah PPKT Kampus Kesihatan Tn Haji Nik Nashron ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu berkaitan liputan dan penambahbaikan rangkaian WIFI, kouta storan pelajar, permohonan komputer, laman web, latihan, serta penjanaan kewangan.
Liputan dan Naiktaraf Rangkaian WIFI. MPP dan MPD telah membangkitkan isu liputan WIFI yang tidak konsisten di kawasan desasiswa dan bilik kuliah di Pusat Pengajian. PPKT menjelaskan perancangan menaiktaraf infrastruktur rangkaian, termasuk pemasangan pemancar tambahan dan peningkatan kelajuan jalur lebar. Pelajar digalakkan melaporkan kawasan bermasalah melalui saluran rasmi seperti Servisdesk dan Hotline PPKT (1111).



Isu keterbatasan kouta storan untuk penyimpanan data pelajar turut dibincangkan. PPKT sedang mengkaji keperluan untuk meningkatkan kapasiti storan berasaskan google workspace bagi menyokong keperluan pembelajaran digital yang semakin meningkat. Pihak pelajar mengutarakan keperluan komputer tambahan untuk kegunaan di pusat mahasiswa dan desasiswa. PPKT memberi jaminan bahawa permohonan ini akan diberi perhatian dengan perancangan pembelian komputer baharu atau berdasarkan kepada stok komputer sedia ada bagi menyokong keperluan tersebut.
Pembangunan laman web rasmi MPP bagi tujuan penyampaian maklumat akan dibangunkan. PPKT akan mengadakan perbincangan lanjut bagi pembangunan reka bentuk dan struktur laman web. Latihan dan Bengkel. Pelajar mencadangkan lebih banyak latihan berkaitan teknologi maklumat untuk meningkatkan kemahiran digital. PPKT bersetuju untuk memperluas program latihan dan bengkel secara berkala dengan kerjasama BHEPA dan MPP.
Penjanaan Kewangan. Bagi menampung kos penyelenggaraan teknologi, perbincangan mengenai kaedah penjanaan kewangan telah diadakan. Cadangan seperti penganjuran program berasaskan teknologi dan kolaborasi dengan pihak luar turut dibincangkan. Keputusan dan Langkah Seterusnya, PPKT dan pihak pelajar sepakat untuk terus bekerjasama dalam merealisasikan penambahbaikan yang diperlukan. Jadual pelaksanaan akan diumumkan secara berperingkat, dan kemas kini akan disampaikan melalui saluran rasmi. Sesi perjumpaan ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam memastikan kemudahan teknologi di Kampus Kesihatan terus relevan dan memacu kecemerlangan pembelajaran serta pembangunan pelajar.