20 April 2025, Ahad / 21 Syawal 1446H – Kampus Kesihatan USM telah mengadakan Majlis Gala Aidilfitri 2025 bertempat di Dewan Utama. Bertemakan ‘Raya Serumpun’, majlis Hari Raya Aidilfitri merupakan tradisi tahunan USM Kampus Kesihatan yang disertai oleh sebahagian pusat tanggungjawab (PTJ) Kampus Kesihatan dan juga pelajar-pelajar USM yang menghidangkan juadah hari raya dengan menu yang telah ditetapkan di reruai masing-masing.
Majlis bermula pada jam 11.00 pagi dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan barisan pengurusan tertinggi universiti serta ketua-ketua jabatan dan pelajar-pelajar USM Kampus Kesihatan.
Tahun ini PPKT mempersembahkan duta dan ahli kumpulan yang memperagakan pakaian tradisional, berkebaya anggun dan lengkap dengan aksesori tradisi dari pelbagai daerah di Indonesia. Menu bagi juadah reruai PPKT merupakan ‘Soto Ayam Madura’ hidangan yang terkenal dari Jawa Timur. Hasil seni bina yang halus dan berkonsepkan kelestarian yang menggunakan bahan-bahan terpakai seperti kotak, kayu, kertas, daun kelapa dan lain-lain serta dihiasi dengan hiasan etnik yang menggambarkan suasana nostalgia desa telah menghasilkan sebuah reruai yang membawa tema ‘Raya Serumpun Pesona Nusantara’.
Majlis raya ini dipimpin oleh Pengerusi Kelab PPKT iaitu Encik Nareeman Shah bin Che Muhammad bersama 17 orang ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus membina reruai yang tersegam indah bersesuaian dengan pakaian tradisonal ahli kumpulan tersebut telah merangkul tiga (3) anugerah yang amat membanggakan jabatan iaitu Anugerah Busana Terpaling Serumpun, Anugerah Busana Terpaling Vogue dan mendapat tempat ke tiga (3) Anugerah Reruai Terbaik.
Reruai bukan sekadar hiasan. Ia adalah perjalanan mengenali budaya serumpun dan di sebalik perbezaan kita berkongsi akar yang sama. Itulah semangat Raya Serumpun dalam menyambut lebaran yang setiap satunya membawa cerita, membawa jiwa dan membawa warisan. Majlis ini berakhir pada jam 2.00 petang.
Teks berita oleh : Rozeanwati Yusoff | Gambar oleh : AJK Program Majlis Hari Raya Aidilfitri Kampus Kesihatan PPKT 2025